Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 19 Okt. – Hanya 36 peratus daripada pekerja di negara ini membuat
perancangan awal bagi menghadapi persaraan mereka.

Sementara 84 peratus lagi gagal merancang masa depan selepas persaraan termasuk tidak berupaya menguruskan wang caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan baik hingga menyebabkan ada antara mereka hidup miskin.
Menurut kajian yang dilakukan oleh sebuah syarikat insurans punca utama pekerja gagal berbuat demikian kerana menganggap tempoh persaraan masih jauh lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin Life Insurance Berhad, Vincent Kwo berkata, akibatnya sebahagian besar pekerja terpaksa bergantung sepenuhnya kepada caruman tetap ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dipotong setiap bulan.
Beliau memberitahu, kajian Indeks Tinjauan Hayat AXA 2007 yang dilakukan pada Ogos lalu melibatkan 2,400 responden berusia antara 25 hingga 50 tahun.
“Kajian ini mendapati pekerja di Malaysia masih terbelakang berbanding rakan mereka di Hong Kong dan Singapura yang lebih ramai membuat perancangan sebelum bersara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tegas beliau, perancangan itu amat penting kerana hanya 20 peratus pekerja negara ini yang bertuah kerana memiliki harta pusaka atau mempunyai kaum keluarga yang boleh menghulur bantuan kewangan.
Bagi kumpulan minoriti pekerja di Malaysia yang melakukan perancangan, jelasnya, secara purata mereka membuat persediaan itu ketika mencapai usia 37 tahun.
“Bagi memastikan mereka mempunyai wang mencukupi, pekerja ini telah membuat simpanan, pelaburan dan membeli insurans,” ujarnya.
Katanya, kajian itu juga mendapati pesara menggunakan sebahagian besar wang untuk perbelanjaan harian, pendidikan anak-anak dan perubatan.
“Hanya sebahagian kecil wang digunakan bagi membayar sewa atau membeli rumah dan melancong,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, kebanyakan responden memberitahu mereka merancang menggunakan masa selepas bersara untuk bersama keluarga, berehat dan meneroka impian masing-masing tanpa perlu risau soal kewangan.
“Hanya 21 peratus responden menyatakan mereka merancang untuk terus bekerja jika kesihatan mengizinkan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment